Thursday 20 December 2012

KERJA YANG DIREDHAI DAN DIBEKARTI



Setiap pekerjaan menjadi sebahagian daripada amal ibadat jika dilakukan mengikut syaratnya. Islam memandang mulia semua jenis pekerjaan sama ada bekerja sendiri atau makan gaji dan memandang hina sesiapa yang malas bekerja serta mengharapkan belas ihsan orang lain. Terutama kepada golongan lelaki perlu bekerja kerana bertanggungjawab memberi nafkah kepada keluarganya
Rasulullah SAW bersabda:
“Bahawa seseorang yang mengambil seberkas kayu api dan diletak atas belakangnya untuk dijual, Allah melindungi maruahnya. Itu lebih baik baginya daripada meminta-minta kepada orang lain sama ada mereka memberinya atau tidak.”
Bekerja wajib dalam perkara yang halal kerana hasil usaha adalah untuk memberi nafkah kepada ahli keluarga di samping memastikan ia akan memberi keberkatan.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Pekerjaan yang paling baik ialah pekerjaan seseorang dengan tangannya dan semula jual beli yang mabrur (yang tidak bercampur dengan perkara diharamkan).”
Etika kerja dalam Islam menitikberatkan disiplin serta menepati masa. Setiap pekerja diberi syarat termasuk waktu berkerja dan menjalankan segala arahan dalam masa ditetapkan. Malangnya, ada sebilangan yang suka curi tulang.
Firman Allah SWT di dalam Surah at-Taubah, ayat 105 yang bermaksud:
“Dan katakanlah (wahai Muhamad): beramallah kamu (akan segala) yang diperintahkan, maka Allah dan Rasulnya serta orang beriman akan melihat apa kamu kerjakan, dan kamu akan dikembali kepada (Allah) yang mengetahui perkara ghaib dan nyata, kemudian dia menerangkan apa yang kamu kerjakan.”
Pekerjaan yang dilakukan juga tidak menyebabkan seseorang itu mengabaikan perintah Allah seperti mendirikan solat dan berpuasa pada bulan Ramadan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Wahai orang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda dan anak pinak kamu daripada mengingati Allah (daripada menjalankan perintahnya. Dan ingatlah sesiapa yang melakukan demikian mereka itulah orang yang rugi).” (Surah al-Munaafiqun, ayat 9)
Selain itu, Islam melarang keras sebarang penipuan dalam urusan pekerjaan ataupun dalam bentuk muamalat lain terhadap pelanggan. Imam Ahmad meriwayatkan apabila Rasulullah SAW melihat makanan yang dijual sudah rosak, Baginda bersabda yang bermaksud:
“Jual dan bahagikan setiap bahagian mengikut kualitinya kerana sesiapa yang menipu kami, dia bukanlah daripada golongan kami.”
Susulan dalil di atas, untuk mendapat keberkatan dan keredhaan Allah SWT kita hendaklah melakukan sesuatu kerja itu berasaskan etika yang telah digariskan dalam Islam.  Berlakunya rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan sebagainya, adalah natijah tidak berakhlak  dan menyampingkan etika kerja berlandaskan ISLAM.
Wahai para pendidik dan Staf TKB..JOM bersama kita bekerja  kerana Allah untuk mendapatkan keberkatan dan redha-NYA. Ayuh kita mengejar destinasi untuk bersama di Syurga Firdausi.

Pengerusi
 Lembaga Pengelola

No comments:

Post a Comment